Pertahanan kiri The Red Warriors (TRW), Mohd Azwan Aripin, mahu rakan sepasukan mengulangi aksi hebat menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) minggu lepas dalam usaha memburu kemenangan penting menentang PKNP FC dalam Liga Super di Stadium Negeri Batu Kawan, malam ini.

Katanya, Kelantan wajib bangkit memburu kemenangan pertama di bawah ketua jurulatih baharu, Fajer Ibrahim, untuk keluar daripada zon penyingkiran selepas sekadar menduduki tangga kedua tercorot dengan lima mata.

"Secara peribadi, TRW tiada pilihan selain meneruskan misi wajib menang, malam ini. Satu perlawanan yang dijangka sukar kerana kedua-dua pasukan perlukan kemenangan selain faktor beraksi di gelanggang lawan.

“Tetapi, saya percaya jika kami mampu menampilkan aksi yang kemas sebagaimana yang ditunjukkan semasa menentang JDT, Sabtu lepas, Insya-Allah, kami mampu pulang dengan keputusan positif,” katanya.

Ditanya pemain PKNP yang perlu diberi kawalan ketat, Azwan tidak teragak-agak mahukan kapten yang juga penyerang prolifik, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, dikunci sepenuhnya oleh barisan pertahanan TRW.

“Dia (Shahrel) cukup licik dan telah menemui sentuhan jaringan baru-baru ini. Kami (pertahanan) tidak boleh leka jika berhajat menghalang jentera serangan tuan rumah menjaringkan gol.

“Jangan lupa, dua pemain import mereka, Yeon Gi-sung dan Keo Sokpheng, yang mampu menghancurkan impian kami jika dibiarkan bebas menguasai bola,” katanya.

Untuk rekod, TRW di bawah ketua jurulatih baharu dari Syria, Fajer, masih kempunan kemenangan apabila sekadar 1-1 dengan Negeri Sembilan di Paroi dan tumpas 1-2 kepada JDT di gelanggang sendiri.