Azamuddin Akil hampir menitiskan air mata sewaktu dia berkongsi perasaan sejurus membuat penampilan sulung bersama Kedah, malam tadi, selepas lapan bulan tersisih akibat kecederaan pergelangan kaki.

Bekas pemain Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mesra dengan panggilan Alex itu diturunkan pada minit-minit terakhir perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang PKNS FC di Stadium Darulaman.

Sejak menandatangani kontrak bersama pasukan Hijau Kuning, Disember lalu, atas persefahaman bersama, Alex tidak menerima gaji sehinggalah diisytiharkan cergas dan boleh beraksi.

"Saya terpaksa menjalani dua pembedahan dengan pembedahan pertama tidak menjadi manakala yang kali kedua berhasil.

"Kakitangan fisioterapi Kedah menjaga saya dengan baik sekali dan saya kini sudah 90 peratus pulih.

"Saya ingin berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang sanggup menerima saya. Kalau tidak, kerjaya saya mungkin sudah berakhir," katanya.

Bagi penggempur berusia 34 tahun berkenaan yang telah memenangi setiap kejuaraan yang ditawarkan dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M), kariernya bersama Kedah dianggap sebagai kelahiran semula.

Sambung Alex yang sebak menceritakan kejerihannya mengatasi belenggu kecederaan itu: "Saya ingin berterima kasih kepada KFA kerana menjaga saya selama lapan bulan ini.

"Saya begitu bergelut, oleh itu saya amat berterima kasih dengan sokongan yang diberikan rakan sepasukan, jurulatih dan rakan-rakan yang lain."