Meskipun cetek pengalaman di pentas tertinggi, pertahanan Felda United, Anwar Ibrahim, mahu membuktikan dia bersedia mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain utama untuk aksi separuh akhir Piala FA menentang Kedah di tempat lawan, esok.

The Fighters tempang tanpa tiga tonggak utama untuk kunjungan ke Alor Setar bagi pertemuan separuh akhir pertama itu.

Mereka yang tidak dapat diturunkan ialah Thiago Aquino Junior dan Masaki Watanabe kerana digantung satu perlawanan manakala Khairul Amri Kamal pula kembali dihimpit kecederaan.

Tiada pilihan, skuad Felda terpaksa mempertaruhkan rata-rata pemain muda dan Anwar bertekad membuktikan kemampuannya bagi misi skuad Felda meraih keputusan positif.

"Felda tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada pemain import. Kami pernah beraksi dengan pemain-pemain tempatan dan mampu bermain dengan baik," katanya.

Anak Kelantan berusia 20 tahun itu percaya pasukannya mampu membuat kejutan ke atas Lang Merah jika semua pemain mengikut arahan taktikal jurulatih, Nidzam Jamil.

Skuad Felda dijangka menggunakan pendekatan bertahan bagi mengelak gawang dibolosi memandangkan peraturan gol tempat lawan penting buat setiap pasukan.

"Kami perlu sedia berdepan Kedah. Jika menyerang, Kedah mungkin akan menghukum kami tetapi kami sedia menerima arahan jurulatih."