Kapten Selangor, Amri Yahya, akur tidak dapat menghadiahkan kejayaan bagi menamatkan penantian sembilan tahun skuad Gergasi Merah untuk menjulang Piala FA selepas tewas 2-0 di tangan Pahang, semalam.

Enggan menuding jari kepada pemain muda yang tampak gugup beraksi di pentas final, pemain berusia 37 tahun itu menegaskan semua pemain harus bertanggungjawab di atas kekalahan itu.

"Pasukan Pahang berhak meraih kemenangan kerana memiliki pengalaman dan pemain-pemain yang bagus di bahagian serangan.

"Pemain-pemain Selangor juga harus dipuji di atas komitmen yang diberikan walaupun masih muda," katanya.

Bagi penggempur berbisa Selangor, Rufino Segovia, dia terkilan kerana gagal menoktahkan aksinya dalam saingan Piala FA dengan kejayaan manis selepas muncul antara penjaring terbanyak kejohanan dengan lima gol.

"Kami bekerja keras untuk hadir ke peringkat ini tetapi tewas dalam final. Kami mahu menang dan menghadiahkannya buat peminat-peminat tetapi Pahang juga adalah pasukan yang hebat," ujarnya.