Hasrat Kedah untuk mendapatkan khidmat Renan Alves dalam aksi final Piala FA tidak kesampaian selepas permohonan menunda hukuman penggantungan pemain itu tidak dilayan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan penganjur liga, Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pertahanan dari Brazil itu dilayangkan kad kuning kedua yang membawa kepada pembuangan padangnya dalam aksi Liga Super terakhir bertemu Felda United di Jengka, Ahad lalu.

Malang buat juara 2017 itu apabila hukuman berkenaan mengganggu persediaan terbaik skuad Lang Merah menjelang aksi perlawanan akhir Piala FA bertemu Perak di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini apabila kelibat tonggak di bahagian benteng itu dinafikan.

Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mencuba nasib dengan membuat permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut tetapi ia tidak dilayan badan induk berkenaan dan juga pihak penganjur liga.

"Dalam kes Alves ini, perlawanan terdekat selepas liga adalah Piala FA, ini bermakna dia akan digantung dalam perlawanan itu.

"Begitu juga dengan pemain lain yang perlu menjalani penggantungan, mereka masih akan menjalani penggantungan dalam Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

"Kad merah yang dikutip dalam perlawanan terakhir liga, hukumannya wajib digantung serta-merta tetapi untuk lima kad kuning yang dikumpul, ia tidak akan dibawa ke perlawanan seterusnya," jelas Ketua Pegawai Operasi, MFL Mohd Shazli Shaik Mohd, ketika ditemui di venue pertandingan, pagi tadi.

Hal ini mirip dengan isu Petaling Jalan (PJ) City FC yang pernah membuat permohonan penundaan hukuman, namun ditolak atas sebab yang sama.