Pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir, menganggap pertarungan separuh akhir Piala FA menentang PKNS FC sebagai situasi berbeza dan tidak mahu dibayangi persembahan baik sewaktu saingan Liga Super.

Selangor turun ke separuh akhir pertama Piala FA selaku tuan rumah di Stadium Cheras tatkala aksi liga pada 10 Jun lalu memihak kepada skuad Gergasi Merah itu dengan kemenangan 2-1.

Walaupun ia dianggap sebagai motivasi utama untuk mengatasi lawan malam ini, Nazliazmi tetap berwaspada dengan muslihat PKNS yang pastinya mahu memburu bekalan selesa untuk aksi timbal balik nanti.

Malah, Selangor juga menaruh harapan tinggi kerana ini kali pertama mereka melangkah ke separuh akhir dalam tempoh sembilan tahun.

"Kali ini, PKNS tampil dengan pendekatan yang berbeza kerana mereka sudah mengetahui corak permainan kami dan begitu juga dengan Selangor. Jaringan di tempat sendiri sudah pasti sangat penting. Kami juga akan cuba tidak membenarkan mereka meraih gol," ujarnya.

Dalam masa sama, Nazliazmi tidak mahu pasukannya hanya mengharapkan kudrat tonggak import, Rufino Segovia, untuk memperoleh jaringan.

Segovia yang beraksi dalam musim keduanya bersama Selangor berada di kemuncak prestasi dengan catatan 13 gol dalam kempen liga di samping lima jaringan bagi kempen Piala FA.

"Saya lihat Segovia menyedari tentangnya dan dia tidak melihat situasi itu sebagai satu beban. Kejayaannya menjaringkan gol adalah hasil bantuan rakan sepasukan.

"Jika PKNS hanya bertumpu kepada kelibatnya, ia adalah satu kesilapan besar."