Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lebih terbuka dalam mengetengahkan pengadil import bagi saingan Liga Malaysia apabila aksi final Piala FA membabitkan Perak dan Kedah bakal diadili individu dari Jepun.

Kecoh seketika apabila aksi Liga Super membabitkan Felda United dan Selangor menampilkan pengadil dari Arab Saudi minggu lalu dan kali ini, FAM menerusi presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, mengesahkan pengadil dari Jepun akan mengendalikan aksi final Piala FA, 27 Julai ini.

Ia berdasarkan permohonan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kepada badan induk itu minggu lalu.

"Untuk final Piala FA, saya rasa kami boleh sahkan ada pengadil dari Jepun. Ia juga adalah usaha MFL. Kami mengikut daripada segi permintaan dan keperluan," katanya.

Situasi itu menimbulkan tanda tanya apabila MFL sebelum ini menggambarkan situasi belum bersedia untuk mendapatkan khidmat pengadil luar tatkala FAM pula melihat ia langkah menambah baik mutu pengadilan Liga Malaysia ketika negara lain juga melakukan hal yang sama.

"Kadangkala Liga Malaysia juga diadili oleh pengadil luar negara. Ia satu imej yang baik tetapi tidak semestinya setiap kali Piala FA akan dilakukan perkara sama. Ia terpulang kepada MFL. Mungkin akan ada lagi," katanya.