Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, memuji anak buahnya kerana berusaha gigih dan menunjukkan prestasi cemerlang sebelum menjulang Piala FA 2019 dengan menewaskan Perak 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jurulatih berusia 42 tahun itu menyifatkan kejayaan merangkul kejuaraan kelima Piala FA itu sebgai sangat bermakna buat penyokong Helang Merah serta pemain biarpun beraksi di padang yang lembap susulan hujan sebelum perlawanan bermula.

"Secara jujur, saya tidak menjangka kemenangan ini kerana bukan mudah untuk saya mendampingi budaya dan persekitaran baharu selepas hanya separuh daripada pemain musim lalu kekal kali ini," kata pengendali dari Singapura itu.

Beliau berkata pengganti pemain pertahanan import, Renan Alves, yang digantung satu perlawanan, Muhammad Amirul Hisyam Awang Kechik, memainkan peranan utama dalam mematahkan percubaan bahaya oleh penyerang Perak.

Pemain gantian, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam, menjadi wira skuad Kedah apabila menghasilkan gol kemenangan pada minit ke-105, sekali gus meranapkan impian Perak menamatkan penantian 15 tahun untuk merangkul piala tersebut selepas 2004.

Kejayaan Kedah kali ini menyaksikan skuad itu merangkul kejuaraan buat kali kelima, sekali gus berkongsi kedudukan dengan Selangor selaku pasukan paling banyak menjulang trofi tersebut.

Kedah sebelum ini memenangi piala tersebut pada 1996, 2007, 2008 dan 2017.

Selain itu, kemenangan itu turut melayakkan mereka beraksi dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim 2020.

Sementara itu, pengendali Perak, Mehmet Durakovic, bangga dengan persembahan anak buahnyaa walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Amirul Azhan Aznan, dilayangkan kad kuning kedua pada minit akhir separuh masa kedua.

"Kami sepatutnya memenangi perlawanan ini, namun kecewa apabila Amirul Azhan diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua," katanya.

"Kedua-dua pasukan memperagakan corak permainan menyerang, namun keadaan padang yang lembut sedikit memberi kesan. Bagaimanapun, saya bangga dengan pemain saya yang melaksanakan tugas dengan baik," katanya.

-- BERNAMA