Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, dan pengendali Perak, Mehmet Durakovic, menyambut baik keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia FAM berhubung pemilihan pengadil dan pegawai perlawanan dari Jepun untuk aksi final Piala FA, 27 Julai ini.

FAM semalam mengesahkan pengadil dari Jepun dipilih untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu.

Ia selepas badan induk itu meneliti latar belakang dan kelayakan pengadil terbabit selain selaras dengan perjanjian persefahaman (MoU) di antara FAM dan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA).

Selain pengadil, dua penjaga garisan juga adalah dari Negara Matahari Terbit itu di samping seorang pegawai perlawanan tempatan.

"Saya berasakan ia adalah satu yang langkah yang bagus untuk mendapatkan khidmat pengadil dari Jepun.

"Semestinya, kami menjangkakan mutu pengadilan yang terbaik dan berharap negara-negara jiran akan dapat menimba pengalaman menerusi perlawanan ini," kata Aidil.

"Saya gembira dengan keputusan FAM. Ini merupakan kali pertama saingan bola sepak Malaysia mendapatkan khidmat pengadil dari luar negara," kata Durakovic.

Usaha FAM itu, bagaimanapun, mendapat reaksi kurang senang bekas pengerusi Jawatankuasa Pengadil badan induk itu, Subkhiddin Salleh.

Subkhiddin yang juga bekas pengadil Piala Dunia menyifatkan pelaksanaan itu sebagai malang dan tidak adil kepada pengadil tempatan.

FAM, bagaimanapun, menyangkal tanggapan itu apabila menegaskan mereka tidak memandang remeh soal pembangunan pengadil tempatan.

Selain itu, ia bagi memenuhi aspirasi peminat untuk melihat tahap mutu pengadilan berkualiti dalam perlawanan berkeamatan tinggi.