Abu Bakar Fadzim memuji keberanian pemain PKNP FC selepas berjaya mengikat Perak 0-0 dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.

"Ia persembahan yang jauh berbeza berbanding ketika kami tumpas 0-4 dalam saingan liga, empat hari lalu.

"Pemain bermain dengan penuh disiplin dan berjaya melaksanakan perancangan dengan berkesan.

"Bukan senang untuk bangkit selepas tumpas dengan jaringan besar empat hari lalu.

"Kejayaan ini satu motivasi dan saya berharap kami boleh menjadikan saingan suku akhir kedua sengit dan menarik," katanya.

Kedua-dua pasukan akan bertemu semula di Stadium Perak, 11 Mei ini.

Abu Bakar melaksanakan corak kawalan ketat terhadap pemain Perak, terutama Gilmar Jose Da Silva yang dirantai pergerakannya oleh Amani Aguinaldo.

Pemain Filipina itu melekat seperti belangkas dengan Gilmar sehingga membataskan penyerang Brazil itu daripada melakukan sebarang kemusnahan.

"Sebenarnya kami mengamalkan corak mengawal ketat terhadap pemain tengah dan penyerang lawan.

"Saya gembira percaturan yang dibuat menjadi, " ujarnya.

Tindakan meletakkan Thomas Abbey sebagai pemain tengah menyerang juga efektif apabila dia berjaya meningkatkan kemampuan jentera serangan tuan rumah.

Pemain Ghana itu turut memikul peranan ketika Perak merantai penyerang utama tuan rumah, Giancarlo Lopes Rodriguez.