TKKR bersaing dalam Moto2

Oleh Staff Writer 14 Februari 2019 3789
TKKR bersaing dalam Moto2
Baru tiga tahun dalam kancah perlumbaan, pasukan kerdil dari Malaysia, TKKR Racing, mengorak langkah untuk bekerjasama menjadi sebahagian daripada pasukan Eropah, SAG, yang berlumba dalam kelas Moto2 saingan MotoGP 2019.

TKKR Racing mengumumkan kerjasama dengan SAG selain menjadi penaja untuk pasukan yang berpangkalan di Sepanyol itu.

Kerjasama Malaysia-Sepanyol itu juga adalah sebahagian daripada projek perintis untuk membawa masuk bukan sahaja pelumba, malah kepakaran teknikal tempatan, untuk menyertai pasukan antarabangsa dalam saingan MotoGP itu. 

"Saya menaruh harapan agar kami lebih berdaya saing selepas ini," kata Prinsipal TKKR Racing, Farid Shamsuddin.

Selain jentera untuk pelumba Moto2, Remy Gardner dan Tetsuta Nagashima, turut dilancarkan semalam adalah jentera bagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman dan Ramdan Rosli, yang akan bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Eropah (CEV).

Ini merupakan pasukan kedua Malaysia yang akan bersaing dalam kancah Moto2 apabila  sebelum ini terdapat sebuah lagi pasukan, iaitu Petronas Sprinta, yang membariskan Khairul Idham Pawi sebagai pelumba.

"Kali ini kami membawa lebih ramai pelumba dari Malaysia sebagai medan untuk mereka timba pengalaman dari awal lagi supaya kelak, orang akan nampak kelibat lebih ramai pelumba Malaysia dalam saingan MotoGP dan CEV," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen