Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, mengesahkan pasukannya terpaksa melupakan khidmat Zaquan Adha Abdul Radzak lebih daripada sebulan selepas pemain itu mengalami kecederaan retak tulang tangan.

Perkhabaran itu ternyata memberikan tamparan buat skuad Warga Kota itu ketika mereka memiliki momentum yang cemerlang selepas melakar kemenangan 4-2 ke atas Melaka dalam saingan Liga Super.

Zaquan, yang mengalami kecederaan ketika perlawanan terdahulu, ternyata merencatkan strategi Maciel dalam usaha untuk memastikan slot beraksi dalam Piala Malaysia.

"Saya berasakan Zaquan terpaksa direhatkan lebih daripada sebulan kerana proses pemulihan daripada pembedahan yang telah dijalani," kata Maciel.

"Saya berharap dia segera pulih dan kembali beraksi untuk pasukan."