"Malam ini pasukan Liga Super, PKNP, tersingkir ke Liga Perdana, pagi esok saya letak jawatan!” Itu janji bekas Presiden PKNP FC, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Justeru, tindakannya meletak jawatan semalam adalah sebagai menunaikan janji yang dibuatnya pada 27 Mei lalu.

"Saya meletak jawatan sebagai mengotakan janji seperti dalam ucapan saya," katanya kepada Astro Arena ketika mengulas peletakan jawatannya, semalam.

Zainol Fadzi membuat janji itu ketika berucap dalam majlis berbuka puasa PKNP FC dan media di Hotel Casuarina, Meru. Lantaran itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada keseluruhan jentera pasukan yang berpangkalan di Perak itu.

"Terima kasih saya ucapkan kepada pentadbiran, pengurusan, pegawai pasukan, jurulatih dan pemain pasukan Liga Super, termasuk skuad Piala Presiden dan Piala Belia," katanya.

Berikutan kegagalan pasukan konglomerat itu kekal dalam Liga Super 2020, timbul spekulasi bahawa ia akan dibubarkan.

Malah, menurut sumber, ura-ura PKNP FC ditutup bertiup kencang sejak awal musim ini tetapi tidak menjadi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga pengerusi PKNP melantik Zainol Fadzi selaku presiden.