Ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, mengetepikan sentimen persahabatan dengan rakan karibnya yang kini mengendalikan Pahang, Dollah Salleh, demi mengutip tiga mata penting dalam pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Hang Jebat esok.

Melaka tenang melalui sesi latihan terakhir dan selain kedudukan tiga terbaik yang kini diraih dalam Liga Super, pertemuan dengan pasukan Tok Gajah semestinya menjadi perhatian tatkala kelibat awang import, Dickson Nwakaeme, dilihat semakin mengganas dengan kutipan tiga gol dalam mengetuai jentera serangan Pahang.

Tidak menafikan sentimen persahabatan di antara dia dan Dollah membuatkan aksi di Stadium Hang Jebat semakin getir, Zainal yang merupakan bekas pengendali Selangor dan Pulau Pinang itu menegaskan tempoh 90 minit malam esok perlu dihadapi sambil melupakan faktor tersebut.

Dia juga menegaskan anak buahnya sudah bersedia walaupun bakal turun dengan status bukan pilihan susulan ketiadaan tiga tonggak utama, iaitu Nazrin Nawi, Ramzi Haziq dan Khuzaimi Piee.

"Bagi saya, walaupun kami kawan karib tetapi apabila melibatkan kerja dan perlawanan, ia melibatkan hasrat masing-masing. Dollah semestinya mahukan sesuatu yang terbaik dan begitu juga saya," kata Zainal.

"Kami harus berhati-hati dengan seluruh pasukan Pahang. Kekuatan berpasukan mampu memberikan padah buat Melaka dan bukan hanya terarah kepada mana-mana individu."