Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) berharap pengendali baru skuad Melaka United (MU), Zainal Abidin Hassan, mampu membentuk sebuah pasukan mantap dan dapat bergerak sebagai sebuah pasukan sebelum bermulanya saingan Liga Super, awal bulan depan.

Naib presidennya, Mohd Yusoff Mahadi, berkata beliau masih belum berpuas hati dengan bentuk pasukan yang dilihat masih ‘longgar’ dan harus segera diperbaiki oleh jurulatih.

“Tugas jurulatih pasukan adalah membentuk sebuah pasukan yang mantap, ibarat MU telah mempunyai bahan mentah untuk dimasak, sekarang terpulang kepada Zainal sebagai tukang masak untuk mengguna sebaik mungkin bahan yang kami sediakan.

“Kami tidak mahu hanya mempunyai bahan yang baik tetapi tidak dimasak dengan baik oleh tukang masak,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan pra-musim di antara Melaka United dan Negeri Sembilan di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Dalam aksi itu, MU mengalahkan pasukan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan pemain import, Luka Milunovis, pada minit ke-14 dan sepakan penalti Safiq Rahim pada minit ke-50.

Mohd Yusoff berharap Zainal mampu melakukan tugas itu dalam masa terdekat.

Beliau berkata MUSA bercadang untuk menganjurkan sekurang-kurangnya empat lagi perlawanan persahabatan sebelum bermula saingan Liga Super nanti.

“Kami merancang untuk membawa pasukan MU ke Vietnam seperti yang disyorkan oleh jurulatih, namun ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat oleh Presiden MUSA, Adly Zahari,” katanya.

Sementara itu, Zainal mengakui bahawa banyak perkara yang perlu diperbaikinya dalam membentuk pasukan MU walaupun rata-rata pemain menunjukkan keserasian dalam perlawanan malam tadi.

“Apa yang penting adalah pemain menunjukkan peningkatan sedikit demi sedikit dan itu yang saya mahukan,” katanya.

Mengenai pemain import, beliau berkata kesemua pemain import yang dijemput hanya dapat diuji dalam satu lagi perlawanan persahabatan bersama sebuah pasukan kelab dari Singapura, Rabu nanti.

“Bagi pemilihan pemain import, kami akan teliti dalam pelbagai aspek dan buat masa ini masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan,” katanya.

-- BERNAMA