Ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, mengakui keputusan saat-saat akhir tidak meletakkan pemain berpengalaman, Safiq Rahim, dalam kesebelasan utama adalah tepat demi kebaikan pasukan.

Bekas pengendali Pahang itu memuji sikap berterus-terang Safiq yang menyatakan kegusaran dengan keadaan padang yang becak mungkin akan memburukkan lagi kondisinya yang baru pulih daripada kecederaan.

Lantas, Zainal mengambil keputusan drastik apabila menggantikannya dengan Saiful Ridzuan Selamat yang turut beraksi cemerlang dalam memastikan kemenangan 2-1 Melaka semalam.

"Apabila dia mencuba padang, Safiq dengan jujur memberitahu saya bahawa dia tidak dapat beraksi di tahap 100 peratus disebabkan keadaan padang yang basah. Jadi, saya mengambil keputusan untuk merehatkannya di saat-saat akhir," katanya.

Sementara itu, pengendali PJ City, K. Devan, sedar kedudukan pasukannya berisiko untuk berada di zon penyingkiran seandainya kekalahan dalam baki perlawanan berterusan.

Dia turut mengakui kagagalan pasukannya berfungsi dengan baik membuatkan mereka berputih di laman sendiri.

"Kami masih di kedudukan kesembilan dan belum selamat. Ada baki tiga perlawanan, jadi kami harus meraih sekurang-kurangnya satu kemenangan untuk meletakkan diri dalam zon selamat," ujar bekas ketua jurulatih Negeri Sembilan itu.