Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Melaka, Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengesahkan Zainal Abidin Hassan dilantik selaku ketua jurulatih skuad Melaka bagi musim 2019.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan Zainal sah meninggalkan pasukan Pulau Pinang bagi menggantikan tempat E. Elavarasan yang mengendalikan Melaka sejak pertengahan musim ini.

Yusoff yang juga pengurus Melaka mengakui Zainal yang juga bekas jurulatih Selangor dan Pahang bakal menandatangani perjanjian dalam masa terdekat.

"Pihak tertinggi pengurusan telah memberikan lampu hijau untuk kami mengambil Zainal sebagai jurulatih.

"Belum ada apa-apa perjanjian, namun pihak saya telah memberikan surat tawaran kepadanya," kata Yusoff ketika ditemui selepas majlis pelancaran F:30 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di ibu negara, semalam.

Beliau turut menjelaskan pengalaman Zainal menjadi salah satu faktor pemilihannya untuk mengendalikan skuad Melaka bagi menghadapi musim baru.

Untuk rekod, Melaka menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga ketujuh.

"Saya mahukannya secepat mungkin.

"Waktu kian suntuk, jadi pengambilan jurulatih perlu dilakukan dalam masa terdekat," tambahnya.