Ketua jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail, mendakwa dirinya masih belum menemui jawapan sebenar kepada kegagalan skuad The Red Warriors (TRW) meraih mata penuh setiap kali beraksi di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV.

Aksi terbaharu menentang pasukan tercorot Liga Super, Pulau Pinang, malam tadi terus menimbulkan persoalan apabila TRW sekadar seri 2-2 biarpun menguasai sebahagian besar permainan dan mempunyai deretan peluang menjaringkan gol.

“Apabila menguasai perlawanan, TRW patut keluar sebagai pemenang berdasarkan peluang yang dicipta, malangnya penyerang gagal mengambil kesempatan untuk menghukum Pulau Pinang.

“Apalah nasib kami bermain di Kota Bharu? Saya masih tercari-cari badi apa yang menimpa pasukan ini.

"Setakat ini, Kelantan hanya menang sekali dengan T-Team, selebihnya seri dan tewas di gelanggang sendiri. Apa punca keadaan ini berlaku?" soalnya.

Zahasmi juga menyifatkan penyakit pemain hilang fokus, terutama pada minit-minit akhir permainan, sekali lagi mengecewakan TRW untuk mendapat tiga mata dan mendaki semula carta Liga Super.

“Bukan kali pertama keadaan ini berlaku. Kami mudah leka apabila mendahului pihak lawan. Fokus pemain mudah hilang dan akibatnya, Pulau Pinang menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan."

Dalam aksi menarik semalam, Pulau Pinang membuka jaringan melalui tandukan cantik penyerang import, Sanna Nyassi pada minit ke-24 untuk menewaskan penjaga gol TRW, Mohd Ramadhan Abd Hamid.

Namun, Kelantan bangkit semula tiga minit kemudian melalui sepakan penjuru ketua pasukan, Mohd Badri Radzi, yang ditanduk masuk pemain sayap, S. Thinagaran, untuk mengikat permainan 1-1.

Penyerang gantian, Mohd Danial Asyraf Abdullah, menceriakan hampir 9,000 penyokong tuan rumah apabila menolak masuk bola yang terkena palang untuk menewaskan penjaga gol Pulau Pinang, Sani Annuar Kamsani, pada minit ke-55.

Seminit sebelum perlawanan berakhir, pemain Gambia yang pernah menjalani ujian pemilihan pemain bersama TRW, Nyassi, muncul penyelamat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan apabila menanduk masuk hantaran Nigel Dabingyaba, sekaligus menewaskan Ramadhan buat kali kedua.

Keputusan seri ini meletakkan Kelantan di tangga ketujuh dengan 14 mata daripada 13 perlawanan manakala skuad Pulau Pinang kekal di dasar Liga Super dengan memungut enam mata.