Yusri Che Lah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua jurulatih Kuala Lumpur hari ini selepas pasukannya gagal mengutip sebarang mata daripada lima perlawanan Liga Super musim ini.

Lima kekalahan dalam lima perlawanan berturut-turut itu mendorong kepada keputusan yang sukar dilakukan Yusri selepas memilih untuk berpisah dengan skuad Warga Kota tersebut berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu turut menjadikannya sebagai ketua jurulatih pertama meletakkan jawatan dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Kekalahan 3-2 kepada Selangor di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, semalam jelas memberikan kesan mendalam buat Yusri dan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

KLFA kini perlu mengharapkan kehadiran jurulatih baru yang mampu membawa perubahan positif terhadap pasukan itu.

Dikhabarkan, persatuan itu bersetuju untuk meletakkan penolong jurulatih, Choong Yee Fatt, sebagai jurulatih sementara bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Yusri.

"Sebagai seorang jurulatih muda, ia sememangnya sukar buat saya untuk menarik diri daripada pasukan ini.

"Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kebaikan pasukan.

"Ia menjadi keutamaan dalam etika kerja saya," kata Yusri.