Tiga jaringan Selangor dalam tempoh 11 minit meranapkan harapan Kuala Lumpur untuk merakamkan kemenangan pertama dalam Liga Super, sekali gus meletakkan kedudukan pengendalinya, Yusri Che Lah, dalam bahaya.

Selangor yang ketinggalan dua gol dalam babak pertama, melakar kejutan apabila bangkit dalam separuh masa kedua untuk menewaskan Kuala Lumpur 3-2 di Stadium KLFA, Cheras malam tadi.

Tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Syafwan Syahlan sebelum Indra Putra Mahyuddin terus menambah duka Selangor untuk gol kedua pada minit ke-37.

Bagaimanapun, keceriaan pasukan tercorot liga itu tidak lama apabila skuad kendalian B. Sathianathan itu bangkit untuk menguasai babak kedua perlawanan.

Sandro Da Silva yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-65 nyata mencetuskan semangat buat rakan sepasukannya untuk terus memburu gol penyamaan yang direalisasikan Syazwan Zainon berselang enam minit.

Belum puas, Selangor tidak menunggu lama untuk memimpin perlawanan menerusi tandukan Mohd Amri Yahyah (m-76) bagi menghadiahkan kemenangan pertama buat Gergasi Merah.

Nyata, kekalahan kelima Kuala Lumpur itu memberi bayangan kurang enak terhadap jawatan Yusri yang diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

"Saya masih diberi tanggungjawab untuk terus bersama skuad Kuala Lumpur.

"Namun, saya harus bersikap jujur. Seandainya pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menganggap saya tidak mampu menggalas tugas ini, saya sedia berbincang dengan mereka untuk menentukan masa depan yang lebih baik buat KLFA.

"Saya bukannya mahu memperjuangkan masa depan saya, sebaliknya untuk Kuala Lumpur," kata Yusri,

Tambah Sathianathan pula: "Saya terpaksa menukar formasi 4-3-3 kepada 4-4-2 memandangkan Amri Yahyah lebih sesuai dengan formasi tersebut.

"Dan kami mendapatkan tiga gol dan menguasai seluruh permainan."