Aksi yang dipamerkan Kelantan bagi memastikan slot beraksi dalam Piala Malaysia dikagumi oleh pemangku jurulatihnya, Yusri Che Lah.

Kelantan mengatasi Pahang 2-1 dalam aksi terakhir Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Muhammad Danial Ashraf Abdullah dan Shafiq Shaharudin meledak gol buat Kelantan sementara jaringan Augustine Amutu tidak mampu memberikan semangat buat Pahang berusaha mencuri mata dalam perlawanan itu.

Tiga mata yang diperoleh Kelantan memastikan mereka beraksi dalam Piala Malaysia dan Yusri memberikan penghargaan kepada barisan pemain di atas persembahan mereka.

"Pemain-pemain Kelantan telah berjuang sehabis baik dalam perlawanan ini untuk meraih kemenangan," kata Yusri.

Bagi Pahang yang terlepas peluang untuk menamatkan saingan di tempat kedua Liga Super, jurulatihnya, Dollah Salleh, mengakui kesilapan dalam taktikal permainan yang lebih mengutamakan serangan hingga menghukum pasukannya.

"Matlamat Pahang adalah mencari kemenangan. Kami terlalu banyak menyerang dan lawan menggunakan peluang menerusi serangan balas," katanya.