Pemangku ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, terus meniupkan api keyakinan kepada pemainnya untuk terus berjuang mengejar peluang yang ada dalam aksi Liga Super menentang Melaka United di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Kejayaan mengejutkan naib juara Piala FA, Selangor, 2-1 di gelanggang sendiri Rabu lalu, menjadi bukti terbaik betapa keazaman yang tinggi mampu menghasilkan keputusan yang positif.

"Sering kali saya ingatkan mereka (pemain) satu perkara. Selagi belum dimuktamadkan kami diturunkan ke Liga Perdana, kami wajib mengejar peluang yang ada.

"Saya taruh harapan yang tinggi kepada pemain biarpun sedar mereka kekurangan pengalaman. Namun, kehendak dan kemahuan mereka yang tinggi memungkinkan rezeki bersama kami.

"Saya tahu pemain mahukan enam mata dalam dua perlawanan di tempat sendiri. Tiga mata sudah dapat selepas tewaskan Selangor dan kini buru tiga lagi mata. Harap boleh ulangi dan sama-sama kita doakan," katanya.

Ditanya mengenai kekuatan Melaka United, Yusri mengakuinya sambil mengingatkan bahawa skuad Hang Tuah itu tidak kalah lagi di gelanggang lawan musim ini.

"Melaka United sebuah pasukan yang mempunyai rekod yang baik beraksi di luar. Kalau tak silap saya, Melaka belum kalah di gelanggang lawan musim ini.

"Terbaru, mereka mengalahkan Kedah 4-1 di tempat sendiri dan keyakinan anak buah E. Elavarasan itu cukup tinggi," katanya.

Yusri yang juga bekas pengendali Felcra FC melihat kelibat bekas pemainnya yang kini beraksi bersama Melaka United perlu diawasi kerana mampu menghancurkan harapan The Red Warriors (TRW) memburu mata penting.

"Kelibat Khairul Fahmi Che Mat di benteng akhir cukup hebat. Begitu juga kemampuan S. Veenod dan Mohd Faris Shah Rosli yang semakin mantap permainan mereka sekarang.

"Saya akui laluan cukup berliku untuk mencari mata. Namun, tiada yang mustahil dalam bola sepak dan kemenangan adalah penting bagi kami mengejar tangga ke-10 liga," katanya.

Kelantan, yang kini berada di tangga ke-11 dengan 14 mata, perlu mengatasi Melaka United malam ini jika berhajat keluar daripada zon penyingkiran, sekali gus kekal beraksi dalam Liga Super musim depan.