Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, terkejut dengan keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang menunda perlawanan di antara Kuala Lumpur dan Perak malam ini sehingga menyebabkan perancangannya terjejas.

Kuala Lumpur dijadualkan berdepan Perak bagi aksi ketiga Liga Super 2019 di laman sendiri malam ini tetapi terpaksa ditunda ke tarikh lain selepas skuad The Bos Gaurus mengemukakan permintaan tersebut.

Bagi Yusri, dia dan anak buahnya menerima keputusan itu secara profesional tetapi tetap kecewa kerana ia mengganggu persiapan Kuala Lumpur yang sudah bersedia untuk menghadapi aksi ketiga liga.

"Pertama sekali, tahniah buat Perak kerana melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL)," kata Yusri.

"Kami terpaksa akur dengan keputusan pihak penganjur Liga Malaysia selepas dimaklumkan pagi tadi. Bagi saya, ia memeranjatkan kerana berlaku di saat-saat akhir. Sudah pasti ia mengganggu perancangan pasukan dan saya tidak boleh menafikannya walaupun ia sepatutnya dimaklumkan lebih awal.

"Secara profesional, kami menerima perkara ini tetapi setiap pasukan perlu lebih peka."