Pemangku jurulatih The Red Warriors(TRW), Yusri Che Lah, yakin mampu menggalas tanggungjawab yang diletakkan di bahunya selepas pemecatan Sathit Bensoh untuk memburu kemenangan pertama bertemu Perak dalam aksi Liga Super, Sabtu ini.

Katanya, perasaan tertekan tidak wujud, sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran untuk mengemudi Kelantan biarpun jawatan ini sekadar sementara.

"Syukur di atas kepercayaan yang diberikan dan saya tidak melihat pelantikan ini sebagai beban, sebaliknya cabaran besar untuk saya mengembalikan kemenangan kepada Kelantan.

"Saya akan melakukan apa yang termampu dan sedang berusaha untuk memulihkan semangat dan meningkatkan motivasi pemain menjelang aksi bertemu Perak di gelanggang sendiri," katanya.

Yusri, yang juga bekas jurulatih Felcra FC, mengakui perlawanan pertama yang bakal dikendalikannya cukup sukar memandangkan Perak memiliki gabungan pemain yang hebat dan sedang berada dalam prestasi terbaik dalam saingan Liga Super.

"Mereka (Perak) cukup bertenaga di awal musim dan saya perlu mengkaji kekuatan dan kelemahan pasukan bimbingan Mehmet Durakovic ini.

"Paling penting, saya mahukan pemain menjadikan Kota Bharu sebagai gelanggang yang menyukarkan pasukan pelawat untuk membawa balik sebarang mata," katanya.

Kelantan ketika ini berada di tangga tercorot Liga Super selepas tiga perlawanan apabila sekadar memungut satu mata.