Jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, mengesahkan penjaga gol muda, Khatul Anuar Md Jalil, akan menyertai UKM FC secara pinjaman selepas beliau memilih tiga penjaga gol senior untuk membarisi skuad Kuala Lumpur 2019.

Yusri, yang menyertai skuad Warga Kota pada musim ini, berdepan situasi sukar apabila pasukan itu memiliki enam penjaga gawang, termasuk Ahmad Solehin Mamat yang mengalami kecederaan.

Perlu menggugurkan sekurang-kurangnya tiga penjaga gol, Yusri membuat keputusan mengejut apabila mengetepikan khidmat Khatul yang juga pemain skuad B-23 negara.

Yusri, bagaimanapun, mempunyai alasan tersendiri mengenai keputusannya itu tatkala menyenaraikan Sharbinee Allawee Ramli, Faridzuean Kamaruddin dan Kamarul Effandi Abdul Rahim bagi membawa cabaran musim ini.

"Khatul merupakan penjaga gol yang bagus tetapi saya telah berbincang panjang untuk meyakinkannya untuk bermain bersama UKM bagi mendapatkan tempo permainan.

"Dengan lebih banyak permainan yang dia terlibat, ia akan membantu mengukuhkan keyakinannya untuk kembali ke pangkuan Kuala Lumpur pada musim 2020 dengan prestasi yang lebih baik ," katanya.

Sememangnya, keputusan mengenai perkara itu penting buat Yusri selepas pasukan bimbingannya muncul pasukan paling banyak dibolosi di pentas Liga Super 2018, iaitu sebanyak 51 gol dalam 22 perlawanan.

"Pemain menunjukkan permainan berdisiplin sepanjang 90 minit, cuma kami dihukum pada minit terakhir susulan keghairahan pemain (untuk melakukan serangan).

"Karakter mereka telah berubah berbanding perlawanan terdahulu, saya melihat ini suatu perkembangan yang positif," tambahnya.