Yusri: De Paula akan bawa perbezaan 

Oleh Staff Writer 22 Mei 2018 10206
Yusri: De Paula akan bawa perbezaan 
Penolong ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, enggan memandang rendah keupayaan Kuala Lumpur menjelang aksi Liga Super malam ini meskipun membenam skuad warga kota itu 4-2 dalam aksi di Kota Bharu, 5 Mei lalu.

Kemenangan ke atas Kuala Lumpur dalam pusingan pertama merupakan kemenangan sulung di bawah kendalian Fajer Ibrahim musim ini.

Bagi Yusri, kekuatan Kuala Lumpur ketika itu tidak boleh dijadikan ukuran dalam aksi malam ini.

"Kita harus ingat, kemenangan lalu dicipta ketika Kuala Lumpur kehilangan khidmat Guilherme de Paula akibat penggantungan. 

"Kali ini, mereka dapat diturunkan dalam kesebelasan terbaik dan saya menjangkakan tentangan lebih sengit," ujar penolong jurulatih itu. 

Pandangan sama turut dilontarkan penyerang Kelantan, Shafiq Shaharudin.

Bagi Shafiq, dia dan rakan sepasukan akan mengambil pendekatan berwaspada ketika menangani pelawat. Namun, setiap pemain sedar tiga mata amat penting buat The Red Warriors untuk keluar daripada kelompok bawahan liga.

"Apa yang telah berlaku biarkan berlalu. Ini adalah perlawanan yang baru dan mungkin sedikit berbeza memandangkan bulan puasa. 

"Faktor pemain yang bebas kecederaan dan penggantungan pasti akan membawa kelainan," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen