Bekas jurulatih dan pemain Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris, menyifatkan keputusan Yusri Che Lah untuk meletakkan jawatan pengendali skuad Warga Kota itu sebagai tindakan profesional atas dasar tanggungjawab dan demi kebaikan pasukan itu sendiri.

Yusri membuat keputusan mengejut untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih Kuala Lumpur berkuat kuasa semalam.

Tindakan itu diambil susulan prestasi buruk The City Boys yang tewas kesemua lima perlawanan pertama Liga Super dan terperosok di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Mat Zan mengakui keputusan Yusri itu perlu dihormati, namun berasakan jurulatih itu masih mempunyai ruang untuk memperbaiki kelemahan pasukannya sebelum mengundurkan diri.

"Ia baru lima perlawanan dan terdapat 17 perlawanan lagi untuk diharungi.

"Kalau diikutkan, dia masih mempunyai banyak masa untuk meningkatkan pasukan," katanya.

Yusri menegaskan tindakannya itu tidak dipengaruhi desakan mana-mana pihak, sama ada Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) atau penyokong mereka.

Bekas pemain Perlis itu turut menafikan keputusan yang diambilnya itu berpunca kerana dia diboikot oleh segelintir pemain import.

"Kedudukan pemain sentiasa di bawah jurulatih.

"Mereka tidak boleh katakan yang mereka tidak suka dengan jurulatih tersebut.

"Jika itu terjadi, ia menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena," tambah Mat Zan.