Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, memberi kata dua kepada pertahanan dari Indonesia, Achmad Jufriyanto, sama ada membuktikan dirinya bebas daripada sebarang kecederaan dalam masa terdekat atau digugurkan daripada skuad Warga Kota itu musim ini.

Achmad mengalami kecederaan pergelangan kaki dalam perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang bulan lalu.

Bekas pertahanan Persib Bandung itu terpaksa berehat selama beberapa minggu dan akan terlepas aksi awal Liga Super.

Namun, sehingga kini pemain yang mesra disapa Jupe itu masih belum menunjukkan perkembangan positif dan ia memaksa Yusri memikirkan pelan B dalam menghadapi saingan awal musim ini.

"Seandainya khidmatnya masih tidak dapat digunakan dalam waktu terdekat, saya mengharapkan pihak pengurusan Kuala Lumpur untuk melakukan sesuatu.

"Ia perlu dilakukan secara profesional kerana kami tidak berniat untuk menganiayai sesiapa.

"Ia demi kepentingan pasukan dan saya berharap Achmad akan pulih dalam masa terdekat," katanya.

Ketiadaan Achmad merencatkan persiapan skuad The City Boys itu untuk berdepan Pahang dalam perlawanan pertama Liga Super esok selepas mereka turut kehilangan seorang lagi pertahanan, Khair Jones, ekoran kecederaan.

"Kami sedar Pahang akan turun dengan barisan pemain serba mantap.

"Mereka dibarisi pemain yang sama seperti musim lalu dan diperkuatkan dengan pemain import yang baru.

"Saya berharap pemain yang akan diturunkan nanti akan bermotivasi tinggi untuk memenangi mata yang dihajati," tambahnya.