Timbalan Presiden, Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, menyangkal kenyataan bekas pengendali, Eric Williams, terhadap penyingkirannya daripada skuad itu pada pertengahan musim yang disiarkan di media sosial, semalam.

Sebuah portal bola sepak, FourFourTwo, melaporkan kenyataan Eric yang mendakwan kepincangan yang dihadapi pasukan Melaka musim ini.

Antaranya adalah campurtangan ejen pemain yang mempengaruhi keputusan Yusoff yang juga pengurus skuad Hang Tuah dalam urusan berkaitan pembelian pemain.

Bagaimanapun, Yusoff menyangkalnya dan mendakwa ejen yang disebut itu sudah lama berkhidmat dengan juara Liga Perdana 2016 itu dan ejen tersebut merupakan individu sama yang membawa masuk Eric pada musim 2017 menggantikan Mat Zan Mat Aris.

"Kami memang menggunakan satu ejen dan dia sudah membuktikan pemain-pemain yang dibawa sebelum ini mampu memacu kejayaan sehingga layak ke Liga Super, malah kehadiran Eric juga dibawa oleh ejen yang sama," katanya.

Dalam masa sama, Yusoff mengakui terdapat beberapa pemain yang terlibat dalam salah laku dengan menunjukkan sijil cuti sakit palsu sebagai alasan untuk tidak menyertai sesi latihan, namun perkara itu telah diselesaikan dan pemain terbabit telah diberikan surat amaran.

Tambahnya, Eric ditamatkan kontrak lebih awal kerana hampir keseluruhan pemain dalam skuad Melaka sukar untuk bekerjasama dengan pengendali dari Australia itu.

Yusoff juga menolak bahawa dia dipengaruhi oleh sesiapa untuk membuat keputusan itu.

"Eric memiliki tempoh tujuh bulan sebelum disingkirkan dan jika pemain sendiri yang menolak khidmatnya, apa yang boleh saya lakukan," tambahnya.