Yusoff: Liridon layak bergelar pemain naturalisasi tahun depan

Oleh Staff Writer 19 Januari 2019 11271
Yusoff: Liridon layak bergelar pemain naturalisasi tahun depan
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka, Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengakui Liridon Krasniqi berpeluang menjadi pemain naturalisasi kedua negara apabila bekas pemain import Kedah itu akan menyertai Melaka bagi saingan Liga Malaysia 2019.

Liridon mencetuskan sensasi apabila kelibatnya kelihatan ketika sesi latihan skuad Hang Tuah itu di Melaka semalam.

Ia memberi gambaran dia bakal menyertai Melaka musim ini selepas dikaitkan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) sambil peluangnya untuk mendapat status pemain naturalisasi kian cerah.

Perkara itu mampu menjadi realiti memandangkan dia yang telah beraksi selama empat musim dalam Liga Malaysia perlu bermain semusim lagi sebelum layak menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya.

"Dengan keberadaan Liridon dalam Liga Malaysia musim ini, secara automatik dia layak untuk dicalonkan menjadi pemain naturalisasi tahun depan. Jadi, penting untuk dia berada dalam Liga Malaysia tahun ini atau tinggal di Malaysia bagi tahun 2019," kata Yusoff.

Untuk rekod, pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh, muncul pemain naturalisasi pertama skuad kebangsaan selepas mendapat kerakyatan Malaysia, April tahun lalu.

Bagaimanapun, kehadiran Liridon di Melaka pasti mengundang persoalan mengenai hubungannya dengan penolong jurulatih, Nidzam Adzha Yusoff, yang sebelum ini dingin ketika bersama pasukan Kedah.

"Saya percaya sebagai seorang pemain profesional, Liridon tahu bagaimana untuk membawa diri dan Nidzam sendiri sedar dia hanya pembantu ketua jurulatih kepada Zainal Abidin Hassan. Saya berharap agar pengetahuannya mengenai Liridon akan membantu," tambah Yusoff.

Liridon dijangka akan diumumkan secara rasmi sebagai pemain import baru Melaka dalam masa terdekat.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen