Pengendali Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, lega pasukan kendaliannya itu mencatat kemenangan 4-1 ke atas PKNP FC di laman sendiri dalam saingan Liga Super malam tadi.

Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Cheras itu, tuan rumah meraih tiga gol dalam tempoh 18 minit pertama hasil jaringan Paulo Josue dan dua gol daripada Guilherme De Paula.

PKNP hanya mengutip gol sagu hati ketika permainan berbaki sembilan minit apabila Giancarlo Lopes Rodrigues menggunakan kesempatan hasil kesilapan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohamad Faridzuen Kamaruddin tetapi De Paula tampil melengkapkan derita pelawat menerusi hatrik pada minit terakhir permainan untuk mengesahkan kemenangan 4-1.

Bagi Yee Fatt, dia melihat kemenangan adalah keutamaan yang penting dan menganggap jaringan besar yang diraih merupakan satu bonus buat pasukannya sambil ketua jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim, mengakui kecewa dengan kekalahan itu.

"Bagi saya, kemenangan yang diraih sudah cukup bagus. Kami cuba mendapatkan tiga mata. Walaupun perlawanan berakhir dengan 4-1, apa yang penting adalah kemenangan," kata Yee Fatt.

"Ia mengecewakan. Melihat pendekatan dan misi kami, kami berpeluang untuk menggunakan perlawanan ini bagi memperbaiki kedudukan liga tetapi terlepas. Mata sangat penting," ujar Abu Bakar.

Kekalahan di Cheras malam tadi menyaksikan PKNP kini tewas lima dalam lapan aksi terakhir.