Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, menyifatkan kehadiran pemain import baru, Luke Woodland, untuk mengisi kuota pemain import ASEAN sebagai jalan penyelesaian kepada masalah bentengnya yang kerap bocor selepas mengharungi dua perlawanan Liga Super 2019.

Selepas menentang Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT), skuad Warga Kota itu bukan sahaja gagal mengutip sebarang mata, malah gawang mereka telah dibolosi sebanyak tujuh kali dan merupakan angka terbanyak dalam liga setakat ini.

Lantaran itu, dengan kehadiran Woodland, Yusri mengharapkan sentuhan pemain kebangsaan Filipina itu mampu memperkasakan pertahanan The City Boys.

Tambahan pula, dia baru sahaja terlibat dalam kempen Piala Asia 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bulan lalu.

Woodland, yang beraksi dengan Buriram United di Thailand sebelum ini, akan menggantikan kelibat pemain Indonesia, Achmad Jufriyanto, yang ditimpa kecederaan.

"Walaupun bekas pasukannya di Thailand belum memulakan liga, daripada apa yang saya lihat ketika sesi latihan semalam melalui komitmen dan kefahamannya, terutama dalam soal taktikal, dia mampu memenuhi keinginan saya," kata Yusri.

Turut Woodland: "Saya seorang pemain profesional. Saya mencurahkan segala kudrat untuk pasukan.

"Saya mahu menikmati permainan serta memberikan aksi menarik kepada penyokong."