Wander Luiz: Siapa jaring tidak penting

Oleh Azizan Hashim 13 Februari 2019 240
Wander Luiz: Siapa jaring tidak penting

Tiada ruang untuk kejayaan peribadi, sebaliknya Wander Luiz Bitencourt lebih mengutamakan kejayaan pasukan Perak.

Justeru, pemain Brazil itu tidak menganggap dirinya sebagai wira biarpun menyumbang dua gol, termasuk semasa penentuan sepakan penalti, bagi menyumbang kepada kemenangan 6-5 Perak ke atas Kitchee SC di Stadium Perak, malam tadi.

"Saya gembira menjaringkan gol untuk Perak tetapi sebenarnya siapa jaring gol tidak penting kerana yang utama ialah pasukan menang,.

"Tidak ada makna saya jaring gol tetapi kami tidak menang, " katanya.

Wander Luiz yang hambar dalam dua perlawanan Liga Super ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah, gembira berjaya menemui sentuhannya malam tadi.

"Saya sedar gagal memberi sumbangan bermakna dalam dua perlawanan sebelum ini tetapi saya terus mencuba dan lega dapat membantu pasukan.

"Bagaimanapun, kejayaan ini adalah hasil usaha seisi pasukan. Kami bermain dengan satu hati dan sebagai satu keluarga.

"Ini adalah antara rahsia kejayaan kami setakat ini," katanya.

Pemain tengah menyerang itu berkata selepas perlawanan dengan Kitchee SC itu, tumpuan Perak kembali kepada saingan Liga Super khusus untuk pertemuan dengan Kuala Lumpur, Jumaat ini.

"Kami mahu menang perlawanan ini untuk merapatkan kedudukan dengan pasukan di atas," ujarnya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen