Wan Zack lega temui semula sentuhan jaringan

Oleh Staff Writer 22 September 2017
Wan Zack lega temui semula sentuhan jaringan
Pemain sayap Felda United, Wan Zack Haikal Wan Noor, menyifatkan kerja kerasnya semasa sesi latihan selama ini membolehkannya menyerlahkan aksi terbaik apabila membantu pasukan menewaskan Kedah 3-1 dalam aksi Liga Super di Alor Setar, kelmarin.

Dalam pertemuan itu, dia berjaya meraih dua gol menerusi sepakan percuma yang membantu kemenangan The Fighters dan lebih menarik, gol pertama yang dijaringkan itu merupakan jaringan terpantas Felda dalam saingan musim ini.

“Bagi diri saya sendiri, saya bersyukur kini berada dalam keadaan yang bagus dan rasa  lega kerana dapat kembali seperti dulu. Saya bekerja keras untuk mendapatkan semula sentuhan,” kata Wan Zack.

Pemain sayap kebangsaan itu juga berharap agar kemenangan ke atas Kedah mampu meningkatkan moral pasukan menjelang suku akhir kedua Piala Malaysia dengan PKNP FC, Ahad ini.

Walaupun ketinggalan 1-3 selepas aksi suku akhir pertama, Wan Zack optimis pasukannya mampu untuk menampilkan kebangkitan.

“Permain bola sepak melibatkan seluruh pasukan dan jika kami bermain dengan bersatu hati, kami mampu menundukkan mana-mana lawan yang kami hadapi," katanya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen