Pertahanan Terengganu, Wan Amirzafran Wan Nadris, tidak mahu menjadikan kecederaan seriusnya sebelum ini sebagai halangan untuk menampilkan aksi terbaik menjelang pertemuan dengan Pahang malam ini.

Wan Amirzafran ditimpa nasib buruk dalam kempen Piala Malaysia musim lalu apabila mengalami kecederaan lutut sehingga terpaksa berehat panjang sebelum bekas pemain Harimau Muda A itu kembali beraksi bulan lalu.

Meskipun belum mempamer prestasi sebenar, dia tetap optimis terhadap kemampuannya untuk mengharungi ujian getir berdepan skuad Tok Gajah.

“Bagi saya, rekod berdepan Pahang musim ini agak mengecewakan. Kami kalah 4-0 di tempat lawan dalam saingan Piala FA. Saya ada dalam pasukan ketika itu, cuma tidak beraksi kerana masih cedera,” katanya.

"Pahang adalah pasukan yang lengkap tetapi saya percaya dengan kemampuan rakan sepasukan untuk mempamerkan aksi terbaik," katanya.

Keyakinannya juga hadir setelah berjaya memastikan pasukannya meraih keputusan positif dalam empat daripada lima aksi terakhir.

Skuad Peteh kini mengintai kedudukan ketiga Liga Super bagi memperbaiki pencapaian tempat kelima musim lalu.

“Kami sasarkan empat teratas. Masih ada peluang walaupun pasukan yang kuat menunggu kami selepas ini.

"Johor Darul Ta'zim (JDT) menanti kami selepas pertemuan dengan Pahang. Namun, apa sahaja boleh jadi dalam bola sepak.”