Vietnam jadi destinasi pra-musim Terengganu

Oleh Tengku Danish Bahri 8 Disember 2018 3581
Vietnam jadi destinasi pra-musim Terengganu
Sekurang-kurangnya tiga aksi pemanas badan dengan kelab Vietnam diatur Terengganu FC (TFC) sebagai sebahagian persiapan untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2019.

Menurut pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim, kunjungan itu bukan sekadar makan angin, sebaliknya bagi memperkemaskan keserasian dan mencari kesebelasan terbaik.

TFC, katanya, dijangka akan berada di negara itu awal bulan depan selain beberapa lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan tempatan.

"Liga Vietnam juga akan bermula tidak lama lagi. Jadi, kami sama-sama akan melakukan persiapan dengan aksi persahabatan di sana.

"Ada dua bulan lagi, saya mahu pemain-pemain fokus dalam latihan serta meningkatkan prestasi masing-masing," katanya.

Sementara itu, aspek kecergasan menjadi perhatian Irfan dalam dua minggu pertamanya dengan pemain-pemain mula menjalani latihan, Rabu lalu, kecuali pemain import.

"Memang lumrah apabila pemain-pemain yang melaporkan diri tidak berada di tahap yang terbaik.

"Mereka perlu rajin, perlu menurunkan berat badan dan saya akan menitikberatkan latihan fizikal," tambah jurulatih berpengalaman itu lagi.

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen