"Jangan terlalu fikir kekuatan lawan jika mahu keputusan positif diraih," itu saranan tonggak tengah Selangor, Joseph Kalang Tie, kepada rakan sepasukan menjelang aksi getir Liga Super berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), malam esok.

Joseph menyedari skuad Harimau Selatan itu kemungkinan akan diperkuatkan beberapa awang import baru untuk berdepan Selangor.

Namun, bagi Joseph, apa yang lebih penting ialah setiap pemain sedia membangkitkan permainan mereka dan belajar daripada kesilapan ketika tewas 2-0 kepada JDT dalam aksi di Larkin sebelum ini.

"Persembahan pasukan perlu diberikan keutamaan dan memperbaiki kelemahan menjelang aksi bertemu JDT," kata Joseph.

Sementara itu, pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir, turut mengakui akan melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama untuk pertemuan dengan JDT.

Nazliazmi juga tidak menolak kemungkinan menggunakan formasi berbeza untuk menangani keampuhan lawan kali ini.

"Kami telah membuat penilaian berdasarkan perlawanan sebelum ini. Kami perlu berdepan JDT dengan perancangan taktikal yang baik dan memberikan saingan kepada JDT," katanya.

Imej: Asiana