Dua pengendali tuan rumah, Mehmet Durakovic (Perak) dan Abu Bakar Fadzim (PKNP FC) menyambut baik tindakan pemilik Stadium Perak, iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) apabila mengambil inisiatif menaik taraf infrastruktur di permukaan padang.

Mehmet menyifatkan masanya tepat kerana faktor keadaan padang yang sangat kritikal bagi sesuatu perlawanan.

"Kualiti padang yang teruk nyata mengganggu corak permainan mana-mana pasukan. Saya berterima kasih kepada mereka yang terlibat.

"Selepas ini, diharapkan pasukan yang beraksi di situ mampu mempamerkan kualiti permainan yang lebih baik," kata Mehmet.

Saya berharap ia sempat siap sebelum kancah bola sepak disambung semula," ujarnya.

Nada sama turut disuarakan Abu Bakar terhadap usaha membaik pulih Stadium Perak.

"Ya, tidak dinafikan keadaan padang sebelum ini mengganggu rentak permainan. Sukar untuk mengadaptasi taktikal, terutama ketika padang basah.

"Diharapkan masalah ini dapat dikurangkan selepas usaha ini selesai," ujarnya.

Sebelum ini, Stadium Perak kerap dikritik peminat Liga Malaysia kerana disifatkan teruk dan tidak sempurna, terutama ketika hujan, malah dilabelkan sebagai 'bendang'.