Barisan pemain Melaka sudah boleh tersenyum menjelang sambutan Aidilfitri selepas timbalan presiden pasukan itu, Datuk Wira Yusoff Mahadi, mengesahkan pembayaran untuk tunggakan dua bulan gaji sudahpun selesai.

Krisis tunggakan gaji melibatkan skuad Hang Tuah itu dianggap selesai selepas tunggakan dua bulan gaji seperti yang dilaporkan sebelum ini sudahpun dibayar minggu lalu.

Tegas Yusoff, pihak pengurusan sedar dengan kelewatan pembayaran yang berlaku sebelum ini dan lega hasrat menyelesaikan kemelut sebelum Hari Raya tercapai.

“Sebenarnya Melaka telah kembali ke landasan dan saya fikir untuk hari raya ini, pemain boleh tersenyum. Saya harap ia akan dibawa kepada perlawanan selepas raya nanti,” katanya.

Pembayaran yang telah dijelaskan itu dilihat membolehkan andaian beberapa pihak sebelum ini bahawa Melaka mengalami masalah kewangan serius sebagai tidak benar.

"Saya ucap terima kasih kepada presiden, Adly Zahari, yang menyelesaikan dan membantu pemain dalam isu tunggakan gaji. Saya lihat semua pemain bergembira."