Tugas sukar TFC berdepan Melaka

Oleh Tengku Danish Bahri 14 Jun 2019 2737
Tugas sukar TFC berdepan Melaka
Penolong jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohamad Nik, mengakui berdepan tugas sukar mendapatkan mata dalam aksi bertemu Melaka di tempat lawan, malam esok.

Menurutnya, Melaka berada di kedudukan lebih baik dalam Liga Super selain diperkuatkan penjaring terbanyak, Patrick Reichelt, dan penyerang import baru, Claude N'Guessan.

Kem TFC pula agak tempang dengan tahap kecergasan Abdul Malik Mat Ariff (paha) dan Ashari Samsudin (buku lali) yang belum mencapai tahap 100 peratus.

"Kami sudah ada bayangan kesebelasan utama untuk dua perlawanan di tempat lawan menentang Melaka dan Perak.

"Kedua-dua itu merupakan aksi sukar dan TFC mengharapkan keputusan positif sekurang-kurangnya empat mata daripada dua perlawanan tersebut," katanya.

Bekas pemain tengah negara itu berkata semangat skuad Melaka di bawah bimbingan Zainal Abidin Hassan juga pastinya tinggi selain dibantu sorakan padu penyokong tuan rumah.

Selain N'Guessan, Melaka turut mendapatkan pemain tengah Croatia, Dominik Balic, untuk membentuk gandingan bersama Luka Milunovic dan Safiq Rahim.

TFC pula dijangka menyenaraikan semula Ahmad Syamim Yahya di bahagian sayap manakala Khairul Izuan Rosli dan Nabil Ahmad Latpi akan bermula di bangku simpanan.

"Saya harap pemain TFC akan teruskan momentum ketika mengalahkan Selangor bulan lalu," tambahnya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen