Menampilkan aksi bertenaga sepanjang siri perlawanan pra-musim membuatkannya segera menjadi sebutan peminat Terengganu FC (TFC).

Malah, kelibatnya mengetuai jentera tengah TFC sentiasa dinanti-nantikan dengan keberkesanan membuat umpanan tepat selain menjadi pakar situasi bola mati.

Menurut Lee Andrew Tuck, 30, fokusnya kini ialah untuk terus mengekalkan aksi konsisten dan membantu TFC memberi saingan dalam Liga Malaysia (Liga M) 2018.

Bekas tonggak Negeri Sembilan itu mengakui gembira dengan sokongan rakan sepasukan, barisan kejurulatihan serta penyokong Sang Penyu.

“Sangat penting untuk saya memberi 100 peratus fokus di atas padang. Penerimaan peminat juga agak mengujakan.

“Saya berharap dapat menghiburkan mereka, seterusnya membantu TFC menang dalam semua perlawanan,” ujarnya.

Pemain kelahiran Halifax, England, itu sudah tentu menjadi taruhan Irfan Bakti Abu Salim untuk menjadi perancang TFC sepanjang musim ini.

Irfan berkata pengalaman Tuck dalam kancah Liga M musim lalu juga membantunya dapat menyesuaikan diri dengan corak bola sepak tempatan.

“Persembahannya cukup baik. Begitu juga dengan pemain-pemain lain yang sudah mula menunjukkan keserasian,” katanya.