TRW terus kempunan di Kota Bharu

Oleh Farizal Yusoff 19 Jun 2018 8121
TRW terus kempunan di Kota Bharu
KELANTAN 0  PKNS 2

Kelantan terus kempunan mencipta kemenangan apabila kalah 2-0 kepada PKNS FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.


Dua jaringan penyerang import, Bruno Oliveira De Matos, sudah cukup menambahkan derita TRW yang semakin bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Pemangku ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah, melakukan sedikit rombakan dengan menurunkan penyerang import baharu dari Brazil, Cristiano Marcolino Santos, untuk memantapkan jentera serangan bergandingan dengan Shafiq Shaharudin.

PKNS memulakan permainan dan berjaya mendapatkan jaringan pendahuluan  melalui rembatan kencang penyerang import, Bruno Oliveira, menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail, seawal minit keempat.

Skuad Semut Merah itu terus mengasak dan ketua pasukan, Mohd Safee Sali, hampir menjaringkan gol melalui rembatan padu di luar kawasan penalti, namun berjaya ditepis Mohd Shahrizan pada minit ke-21.

Usaha TRW  mencari gol penyamaan  hampir  berhasil melalui sepakan kencang Nik Akif Syahiran Nik Mat, namun berjaya ditangkap kemas penjaga gol PKNS, Tauffiq Ar Rasyid Johar, pada minit ke-36.

Dalam babak kedua, perancang kreatif PKNS, Muhammad Faris Ramli, berjaya melakukan larian solo sambil melepaskan rembatan kencang, namun terus kedakapan Mohd Shahrizan pada minit ke-47.

Yusri melakukan pertukaran dengan membawa masuk penyerang, Nik Azli Nik Alias, dan mengeluarkan Mohammad Imran Samso pada minit ke-60 untuk menguatkan jentera serangan mencari gol penyamaan.

Melalui satu serangan balas,  penyerang import, Bruno Oliveira, hampir berjaya menggandakan jaringan buat PKNS apabila sepakan leretnya sedikit tersasar pada minit ke-68.

TRW cuba mengasak mencari gol penyamaan, malangnya rembatan kencang penyerang gantian, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, di luar petak penalti berjaya ditepis keluar Tauffiq Ar Rasyid pada minit ke-83.

Tiga minit kemudian, Bruno Oliveira memastikan tiga mata penuh milik PKNS apabila mudah menolak masuk menewaskan Mohd Shahrizan untuk jaringan kedua peribadinya.

Kekalahan ke-11 ini menyaksikan TRW terus berada di dasar Liga Super dengan 11 mata manakala PKNS masih kekal di tangga keenam dengan 23 mata.

Keputusan lain:

N SEMBILAN 1 PAHANG 3
PKNP 1 MELAKA UNITED 2
SELANGOR 1 PERAK 1

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen