Pahang kembali menemui sentuhan ajaib dalam corak permainannya apabila membenam Melaka 4-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, semalam.

Ketua jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh, berpendapat prestasi pasukan yang kembali seperti di awal musim amat melegakannya kerana saingan Piala Malaysia akan bermula tidak lama lagi.

"Dua kemenangan pada Sabtu dan sebelumnya memberikan penutup yang cantik buat kami di penghujung musim Liga Super dan pemain kembali mendapat sentuhan mereka.

"Saya harap Pahang dapat mengekalkan prestasi ini dan jika ia berlaku, sasaran kami untuk merebut Piala Malaysia boleh tercapai," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Pahang memperoleh gol pendahuluan menerusi Lazarus Kaimbi pada minit pertama, diikuti gol kedua daripada Mohamadou Sumareh pada minit ke-40 sebelum Melaka mencipta jaringan pada minit ke-58 melalui Luka Milunovic.

Namun, 11 minit kemudian, Kaimbi sekali lagi meledakkan gol dan Saddil Ramdani menutup tirai jaringan Pahang ketika aksi berbaki seminit.

Dollah juga mengakui Kaimbi sudah membuktikan keupayaan sebenarnya dengan menghasilkan dua jaringan dalam dua aksi terakhir walaupun pernah meluahkan tidak selesa untuk bermain sebelum ini.

"Kami terus memberi semangat dan kini dia yang bekerja keras. Diharap corak permainannya kekal selain Dickson Nwakaeme semakin pulih dapat membantu Pahang mencapai sasaran bergelar juara Piala Malaysia," katanya.

Sementara itu, pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan, berkata gol awal yang dihasilkan tuan rumah berjaya mematahkan semangat anak buahnya sehingga melakukan banyak kesilapan sebelum cuba bangkit dalam separuh masa kedua.

Baginya, skuad Sang Kancil itu bermain lebih kemas dan cuba mencipta peluang gol, namun Pahang bijak menggunakan kesilapan mereka untuk mendera pasukannya dengan lebih banyak jaringan.

Kredit foto: Pahang FA

— BERNAMA