Tok Gajah hormati kredibiliti Lang Merah 

Oleh Staff Writer 4 Mei 2018 5358
Tok Gajah hormati kredibiliti Lang Merah 
Tiada apa yang melegakan pengendali Pahang, Dollah Salleh, ketika ini selain melihat dua tonggak utamanya, Matthew Davies dan Safuwan Baharudin, yang kembali cergas untuk bersama Pahang menjelang aksi dengan Kedah di Stadium Darulmakmur, esok. 

Pahang kekal konsisten dengan kemenangan mereka akhir-akhir ini tanpa kelibat Davies dan Safuwan.

Begitupun, keutamaan tetap milik kedua-dua pemain itu sebaik dikhabarkan cergas untuk aksi malam esok.

Paling lega sudah pasti Dollah yang melihat kembalinya kedua-dua pemain itu akan memantapkan lagi prestasi skuad Tok Gajah. 

"Kalau dapat Matthew dan Safuwan semula, kami boleh memantapkan lagi pasukan, khususnya bertemu Kedah. Kedah sudah sinonim sebagai salah sebuah pasukan terbaik di Malaysia. 

"Jadi, saya berharap sangat kedua-dua pemain ini dapat beraksi," katanya. 

Jika sebelum ini Dollah runsing dengan situasi Pahang yang kehilangan ramai pemain akibat kecederaan, kini hanya tinggal penyerang, Norshahrul Idlan Talaha, yang masih dalam proses pemulihan.

Bagi pertembungan dengan Lang Merah nanti, Dollah tetap melihat skuad kendalian Nidzam Adzha Yusof itu sebagai berbahaya dan mampu membuatkan Pahang mengigit jari andai tidak berhati-hati.

"Tiap-tiap perlawanan berbeza. Kita tidak boleh ambil kira perkara yang sama. 

"Saya percaya Kedah bukan pasukan yang mudah untuk diperkotak-katikkan. 

"Seperti yang saya cakap, mereka adalah salah sebuah pasukan terkuat di Malaysia," katanya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen