"Tiada lagi rehat panjang untuk Liga Malaysia 2018", itu pernyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengenai struktur baru Liga M yang turut bakal meluangkan lima pemain import bagi setiap pasukan musim depan.

Saingan Liga M musim ini beberapa kali terpaksa dihentikan sementara dalam tempoh yang agak lama, antaranya ketika bulan puasa Jun lalu dan sepanjang Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan lalu.

Tunku Ismail mengakui tempoh rehat panjang mengganggu momentum perlawanan dan menjejaskan kerancakan saingan.

"Ia memberi kesan kepada pemain dan secara tidak langsung memberi kesan kepada pasukan kebangsaan juga.

"Apabila ada pertandingan membabitkan pasukan bawah 23 atau bawah 18, tiada lagi liga rehat.

"Liga harus diteruskan seperti negara lain yang maju dalam bola sepak," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) di Johor Bahru, semalam.

Beberapa perkara lain turut diusulkan dan turut mencuri tumpuan ialah cadangan kuota pemain import Asia Tenggara.

"Jika kita membuka kuota pemain import ASEAN, mereka haruslah bukan pemain sebarangan kerana mereka perlu mempunyai rekod penampilan sekurang-kurangnya 30 perlawanan antarabangsa.

"Secara tidak langsung, mereka akan membantu meningkatkan lagi penyokong dalam saingan tempatan.

"Lebih banyak penyokong, lebih banyak duit untuk liga," katanya.

Segala perancangan itu akan dibawa dalam mesyuarat Exco FAM yang akan diadakan di Kedah dalam masa terdekat.