Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, teruja untuk memastikan rentak konsisten pasukannya selepas mencapai kedudukan kedua Liga Super yang turut menjadi kedudukan terbaik Perak dalam saingan liga sejak sembilan tahun lalu.

Sudah pasti, ia petanda yang cukup baik buat pasukan Perak dan Durakovic.

Namun, ia bukan masa yang sesuai untuk berpuas hati kerana tugasan yang ada perlu diterjemahkan dengan keputusan yang membawa kepada erti konsisten ataupun lebih daripada itu.

Durakovic mampu tersenyum sebelum aksi penting 90 minit di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah malam ini, namun selebihnya dia berhasrat melihat aksi bertenaga anak buahnya demi mendapatkan tiga mata penting dari laman lawan.

"Saya gembira dengan kedudukan kami di tangga kedua liga. Pemain telah melaksanakannya dengan cukup baik.

"Ia kedudukan terbaik Perak dalam tempoh sembilan tahun ini. Ia sesuatu yang baik, namun perjalanan masih panjang," kata bekas pertahanan Selangor itu.

Hasrat Durakovic tidak berjalan seperti yang diharapkan apabila jadual mereka yang sepatutnya mendapat slot latihan di Kuala Terengganu tidak dapat disempurnakan pasukan tuan rumah yang gagal menyediakan gelanggang latihan berlampu.

Skuad Durakovic yang sememangnya menjalani latihan di sebelah malam mengakui terkilan dengan hal yang berlaku, namun itu tidak cukup untuk mematahkan semangat mereka menjelang aksi sebenar.

"Ia bukan situasi yang mudah, gelanggang latihan yang disediakan untuk kami tidak berlampu, maka tiada latihan pada malam ini (tadi).

"Kami terpaksa kembali ke hotel untuk melakukan sesi regangan dan pemanas badan, tiada apa yang kami boleh lakukan," katanya lagi.