Penyerang skuad bawah 23 tahun negara, N. Thanabalan, sedia menggalas tugas dalam kesebelasan utama Negeri Sembilan untuk berdepan Terengganu FC (TFC) dalam Liga Super di Paroi, malam ini.

Ketiadaan Nicolas Velez kerana gagal berada pada tahap kecergasan terbaik membuka peluang kepada Thanabalan berada dalam kesebelasan utama pasukan buat kali pertama musim ini.

Jurulatih Negeri Sembilan, Jorg Steinbrunner, dijangka memberi peluang untuk pemain muda itu memperkuatkan jentera serangan pasukan.

Bagi Thanabalan, dia tidak sabar memulakan perlawanan dan mempamerkan persembahan terbaik di hadapan peminat setia skuad Jang di laman sendiri.

"Sudah lama saya tidak bermain untuk negeri saya. Sudah setahun saya bermain bersama Felcra FC. Mungkin saya akan beri sehabis baik untuk perlawanan ini kalau saya dapat bermain.

"Mereka (lawan) pasukan kuat dan setakat ini tidak pernah kalah lagi. Tetapi kami bermain di laman sendiri, mungkin kami ada kelebihan sedikit," katanya.

Bekas pemain Felcra FC itu juga bersedia turun sebagai pemain sayap atau penyerang kerana kemenangan merupakan sasaran utamanya untuk mengutip mata.

"Mungkin saya dapat bermain dalam kesebelasan utama tetapi saya tidak pasti bermain di bahagian mana.

"Mungkin juga di bahagian sayap kerana sudah ada pemain senior di posisi depan," katanya lagi.