Terengganu FC (TFC) mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk menurunkan pertahanan import, Luis Gustavo Camilo, selepas gagal mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, mengakui badan induk dunia, FIFA, tidak dapat mengeluarkan sijil berkenaan kerana ia dipohon sebaik jendela perpindahan ditutup.

Beliau menjelaskan rayuan pertama PBSNT melalui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah pun ditolak dan sedang menanti keputusan rayuan kedua.

"Keputusan (tukar import) kami dibuat di saat-saat akhir dan di hujung jendela perpindahan," katanya.

"Kalau ikutkan, permohonan ITC tersebut masih dalam jendela perpindahan walaupun menurut FIFA tempoh itu sudah pun ditutup.

"Setakat ini tiada jawapan lagi daripada FAM untuk rayuan kedua, namun kami membayangkan ia tak lepas (ditolak) juga."

Sambil mengharapkan bantuan penyelesaian FAM, Tengku Farok berkata semua prosedur dilakukan PBSNT adalah tepat dan hanya menanti ITC sebelum menurunkan Camilo.

Perbincangan juga akan dilakukan dengan kelab pemain itu sekiranya keputusan rayuan kedua masih tidak memihak kepada PBSNT.

"Kedudukan Camilo akan dibincangkan kerana kami tidak mahu menganiaya pemain itu yang tidak dapat diturunkan bersama TFC."