Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, berasa gembira dengan prestasi pasukannya selepas menewaskan Binh Duong FC 3-2 di Vietnam, semalam.

Persembahan memberangsangkan dalam aksi pemanas badan itu berjaya menyerlahkan peningkatan ketara berbanding perlawanan sebelum ini.

Kelibat pemain seperti Sanjar Shaakhmedov dan Ahmad Syamim Yahya turut mendapat pujian Irfan ketika mereka mula membentuk keserasian yang baik.

"Soal keputusan perlawanan tidak penting kerana saya sudah dapat melihat kerjasama sepasukan ketika menyerang dan bertahan," katanya.

Dalam aksi bertemu juara Piala Kebangsaan Vietnam itu, jaringan Lee Tuck, Mohd Shahrul Aizad dan Shaakhmedov memastikan kemenangan TFC.

TFC dijadualkan bertemu dua lagi kelab Vietnam, Truong Giang FC (esok) dan Quan Ninh FC (Khamis) bagi melengkapkan siri perlawanan pra-musim mereka di negara itu.

"Memang memenatkan, namun saya akan menurunkan kesemua pemain yang dibawa ke Vietnam," tambahnya.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)