TERENGGANU FC 3 KUALA LUMPUR 1

Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan pertama dalam tiga perlawanan dengan mengalahkan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Turun selaku tuan rumah, TFC memiliki peluang pertama pada minit ke-21 menerusi rembatan Mohd Syamim Yahya dari luar kotak penalti yang sedikit tinggi melepasi sasaran.

Pintu gol Kuala Lumpur diuji lagi selepas setengah jam permainan berlangsung, mujur sepakan lencong pemain sayap TFC, Nabil Ahmad Latpi, tersasar ke sebelah tepi.

Lee Tuck (m-36) kemudian memecahkan kebuntuan melalui sepakan penalti selepas penjaga gol pelawat, Mohd Sharbinee Allawee, menjatuhkan Nabil di dalam kotak penalti.

Kuala Lumpur berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-39, namun Paolo Josue mensia-siakan situasi satu lawan satu berdepan Ilham Amirullah Razali.

Ilham begitupun gagal menangkap kemas voli dilakukan Josue sebelum Darko Markovic mudah menyudahkan bola muntah untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-41.

TFC memperkemaskan rentak selepas rehat dan hampir memperoleh gol kedua, malangnya usaha menarik Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-71 ditepis keluar Sharbinee.

Hampir 2,000 penyokong TFC kemudian bersorak gembira apabila pemain pertahanan, Muhammad Mohd Fauzi, menyambar sepakan sudut Tuck pada minit ke-75.

Pemain gantian, Abdul Malik Mat Ariff (m-82), memastikan kemenangan 3-1 TFC apabila dengan tenang melakukan sepakan leret hasil hantaran Shaakhmedov.

Keputusan lain:

KEDAH 3 PJ CITY 2

MELAKA 0 JDT 2


Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)